Unit Polis Pelancong (UPP), satu unit khas dibawah Polis Diraja Malaysia (PDRM), memainkan peranan penting dalam memperkukuh aspek keselamatan dan keyakinan pelancong menjelang Sidang Kemuncak ASEAN 2025 serta Tahun Melawat Malaysia 2026, khususnya di ibu kota dan pusat pentadbiran negara.
Oleh Samantha Tan Chiew Tieng
PUTRAJAYA, 26April (Iteenews) — Unit Polis Pelancong (UPP), sebuah unit khas di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM), memainkan peranan penting dalam memperkukuh aspek keselamatan dan keyakinan pelancong menjelang Sidang Kemuncak ASEAN 2025 serta Tahun Melawat Malaysia 2026, khususnya di ibu negara dan pusat pentadbiran negara.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur SAC Ravindar Singh Sarban Singh berkata kehadiran anggota UPP secara menyeluruh (omni presence) di lokasi tumpuan seperti Dataran Merdeka, Petaling Street, Little India, Bukit Bintang, Putra Perdana dan Masjid Putra dapat meningkatkan rasa selamat dan mengurangkan risiko jenayah.
"UPP bukan sahaja menjalankan tugas penguatkuasaan undang-undang serta kawalan trafik dan orang ramai, malah bertindak sebagai sumber maklumat dan bantuan kepada pelancong, termasuk memberikan panduan arah dan bantuan kecemasan awal," katanya dalam temu bual bersama Iteenews baru-baru ini.
Beliau menjelaskan bahawa peranan UPP sebagai penghubung antara pelancong, pihak berkuasa, dan komuniti tempatan mampu mewujudkan pengalaman pelancongan yang positif, selaras dengan aspirasi tema 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada'.
"PDRM juga telah mengambil langkah awal dengan memberikan latihan dalam perkhidmatan kepada petugas, seperti kursus bahasa Inggeris, kemahiran komunikasi, penyeliaan, pengurusan kecemasan, dan kawalan lalu lintas sebagai persiapan menghadapi ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya.
Ravindar Singh berkata bilik gerakan dan pusat kawalan sementara turut diwujudkan, sementara koordinasi penugasan antara agensi diperkukuh bagi memastikan keperluan logistik dan peralatan komunikasi yang mencukupi.
Beliau menegaskan bahawa meskipun kadar jenayah di Putrajaya kekal rendah, aspek keselamatan serta kesejahteraan awam tetap menjadi keutamaan, memandangkan ia melibatkan imej dan simbol keselamatan negara.
Katanya sebarang insiden yang berlaku di Putrajaya akan memberikan impak besar kepada persepsi antarabangsa terhadap kemampuan PDRM sebagai pasukan penguatkuasaan utama negara.