TNB Komited Pastikan Bekalan Elektrik Terjamin Dan Berterusan Menerusi Pelaksanaan RP4

642d5cc3b0e1dd58469f61d6de511e3360bc7418e7fc0

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Iteenews) –Jadual tarif baharu dengan tarif asas 45.62 sen sekilowatt-jam (KwJ) bagi Semenanjung Malaysia di bawah Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) dicadangdilaksanakan mulai 1 Julai, 2025, kata Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Di bawah Tempoh Kawal Selia 3 (RP3) antara 2022 dan 2024, tarif asas ditetapkan pada 39.95 sen/kWj.

TNB menerusi makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata sebarang perbezaan dari Januari hingga Jun 2025 akan dibiayai melalui Kumpulan WangIndustri Elektrik (KWIE).

“Jadual tarif elektrik semasa yangdilaksanakan sejak 2014, akan terus berkuat kuasa, tanpa perubahan dalam kadar tarif dan struktur tarif elektrik sehingga 30 Jun, 2025,” katanya.

TNB berkata kadar pulangan kawal selia dikekalkan pada 7.3 peratus seperti di bawah RP3 dan ini akan membolehkan firma utiliti itu membuat pelaburan penting dalam industri, memastikan bekalan elektrik yang terjamin dan berterusanuntuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Menurutnya, kos penjanaan kekal sebagai komponen terbesar tarif elektrik, dengan gas dan arang batu terus menjadi sumber bahan api utama untuk penjanaan elektrik sepanjang tempoh ini.

“Sebarang kos penjanaan tambahan hasil daripada harga bahan api yang lebih tinggi untuk bekalan elektrik akan dilepaskanmelalui mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang(ICPT).

"TNB kekal neutral dalam hal ini dan tidak akan ada kesan ke atas operasi perniagaan atau kedudukan kewangan syarikat," katanya.

Baru-baru ini, kerajaan meluluskan pelaksanaan RP4 di bawah rangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif(IBR) dari Januari 2025 hingga Disember 2027.