Rider humban motosikal pengutip hutang dalam sungai

rider buang moto

Orang ramai membantu menghumban motosikal milik pengutip hutang ke dalam sungai. – Instagram

JAKARTA – Seorang penunggang teksi motosikal (ojol) menghumban motosikal milik pengutip hutang ke dalam sungai selepas kenderaannya itu nyaris ditarik, lapor laman berita Detik semalam.

Kejadian berlaku di Sawah Besar, Jakarta Tengah, kelmarin.

Berdasarkan sebuah video tular, penunggang ojol itu pada awalnya dihampiri pengutip hutang yang mahu merampas kenderaannya setelah dia gagal membayar ansuran bulanan.

Mereka kemudian bertengkar sebelum pengutip hutang melarikan diri dan meninggalkan motosikal miliknya di lokasi kejadian.

Penunggang ojol itu kemudian melempar motosikal tersebut ke dalam sungai dengan bantuan penduduk setempat.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Sawah Besar, Asisten Komisioner Polis Sholeh berkata, polis telah memeriksa lokasi kejadian. 

Tambahnya, berdasarkan keterangan saksi di lokasi kejadian, berlakunya selisih faham antara pemandu ojol dengan pengutip hutang, namun  tiada sebarang kecederaan dialami.

“Hanya salah faham. Motosikal yang dihumban sudah diambil semula. Semuanya sudah diselesaikan secara baik,” kata Sholeh. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *