Tak kisah jatuh landasan, janji Indonesia menang 

geli jatuh

Tangkap layar menunjukkan penumpang itu dibawa naik oleh seorang pengawal keselamatan. – Instagram

JAKARTA – Seorang lelaki di Indonesia mengundang perhatian orang ramai selepas terjatuh di landasan kereta api gara-gara leka menyaksikan perlawanan bola sepak kelayakan Piala Dunia 2026, lapor portal berita Abatanews semalam. 

Rakaman dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @folkshit menunjukkan penumpang itu jatuh terduduk di atas landasan kereta api. 

Dia kemudian dibawa naik ke platform dengan bantuan seorang pengawal keselamatan dan rakan-rakannya. 

Menurutnya, dia terlalu leka menonton perlawanan antara pasukan Indonesia dan Arab Saudi sehingga tidak memperhatikan keadaan sekeliling. 

Rakaman itu menjadi tular dan menimbulkan kekecohan di ruangan komen. 

“Masih sempat ketawa! Nasib baik tidak ada kereta api!” marah seorang netizen. 

“Bola sepak adalah hiburan rakyat di mana kita berada! Yang penting Indonesia menang!” komen netizen lain. – AGENSI