Kesan kepada tubuh jika makan daging babi kurang masak

Babi daging

GHALI berkongsi imej imbasan menunjukkan tanda-tanda jangkitan parasit yang dipanggil sistiserkosis.- Foto X

WASHINGTON – Kesan buruk  akibat tabiat memakan daging babi kurang masak didedahkan menerusi mesin  imbasan badan, menunjukkan badan pesakit dipenuhi cacing parasit,  lapor portal berita MailOnline kelmarin.

Seorang doktor dari Universiti Florida, Sam Ghali menggunakan media sosial untuk berkongsi imej seorang pesakit mempunyai tanda-tanda jangkitan parasit dinamakan sistiserkosis.

Sistiserkosis berlaku apabila larva spesies cacing pita memasuki tisu dan organ manusia seperti otot atau otak.

Ia juga membentuk sista atau ‘cyst’ keras yang berasa seperti ketulan di bawah kulit berdasarkan kepada imbasan perubatan. 

Walaupun tidak menyenangkan, pada kebiasaannya, ia tidak berbahaya kerana sista mengandungi larva cacing itu tidak dapat hidup di luar usus. 

Bagaimanapun, sista boleh menyebabkan masalah jika ia berkembang di dalam otak.

Cacing pita yang menjadi punca jangkitan itu memasuki tubuh manusia melalui telurnya.

Telur ini boleh didapati dalam daging babi yang kurang masak dan boleh berkembang menjadi cacing pita dewasa di dalam usus manusia, namun ia tidak mengakibatkan sistiserkosis secara langsung. 

Sebaliknya, sistiserkosis berlaku apabila orang yang dijangkiti menyebarkan telur cacing pita kepada individu lain melalui najis mereka.

Menulis di laman X, Ghali berkata: “Adalah sangat penting untuk mengambil perhatian bahawa hanya apabila telur ini dihadam melalui mulut dan menjadi najis, seseorang boleh mengalami sindrom klinikal yang dikenali sebagai sistiserkosis.”

Penularan ini berlaku terutamanya melalui orang yang dijangkiti tidak mencuci tangan dengan betul selepas menggunakan tandas. 

Menurutnya, cacing pita yang membentuk sista hanya terkandung dalam daging babi.

Kata Ghali, adalah penting tidak memakan daging babi yang tidak dimasak dengan sempurna (orang bukan Islam) dan menjaga kebersihan diri seperti mencuci tangan kerana pembawa sista ini boleh menjangkiti orang lain. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *