WHO isytihar mpox darurat kesihatan global

MPOX 2

Seorang jururawat memberi suntikan vaksin kepada pesakit mpox di Montpellier, selatan Perancis pada 23 Ogos 2022. – AFP

GENEVA, SWITZERLAND  – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin mengisytiharkan wabak mpox(cacar monyet)  sebagai darurat kesihatan awam global, kali kedua langkah  itu dilakukan dalam masa dua tahun, lapor agensi berita United Press International.

“Hari in (kelmarin), jawatankuasa kecemasan mengenai mpox bertemu dan menasihati saya bahawa pada pandangan mereka, situasi sekarang boleh dikategorikan sebagai darurat kesihatan awam yang membimbangkan masyarakat antarabangsa.

“Saya menerima saranan mereka,” kata Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus di platform X.

Tambah Tedros, WHO komited dalam masa beberapa hari dan minggu akan datang untuk menyelaraskan tindak balas global, bekerja rapat dengan setiap negara yang terjejas dan memanfaatkan kehadirannya di lapangan. 

“Ia bertujuan untuk mencegah penularan, merawat mereka yang dijangkiti dan menyelamatkan nyawa,” jelasnya.

Selepas pengisytiharan darurat global pada 2022, mpox menjangkiti hampir 100,000 orang serta membunuh kira-kira 200 pesakit.

Pengisytiharan terbaharu itu bertujuan untuk memastikan negara-negara anggota WHO bersedia untuk menangani virus tersebut  selain mula berkongsi vaksin, rawatan dan sumber utama lain dengan negara-negara yang terjejas.

Dalam kenyataan yang disiarkan secara langsung, Tedros berkata, mpox dikesan  di Republik Demokratik Congo (DRC) selama lebih 10 tahun, tetapi kes penyakit tersebut meningkat baru-baru ini, dengan 524 kematian dan lebih 14,000 kes direkodkan.

“Pengesanan dan penyebaran pantas wabak baru mpox di timur DRC, pengesanannya di negara jiran yang tidak pernah melaporkan mpox sebelum ini dan potensi untuk penyakit ini  terus merebak di Benua Afrika dan lebih jauh sangat membimbangkan,” ujar beliau.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat, mpox  menyebabkan gejala ruam pada tangan, kaki, dada, muka, mulut atau berhampiran alat kelamin. Gejala lain termasuk demam, menggigil, kelenjar limfa bengkak, keletihan, sakit otot, sakit kepala dan gejala pernafasan. – AGENSI 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *