Penduduk dunia buang 400 juta tan plastik setahun

COVER plastik scaled

Sebuah mesin hidraulik gergasi mengumpul sisa plastik di Sungai Juan Diaz, Bandar Raya Panama pada 1 Oktober lalu. – AFP

BANGKOK – Dunia menghasilkan sekitar 400 juta tan sisa plastik setiap tahun dengan kebanyakannya dibuang hanya beberapa minit selepas digunakan.

Sebagai perbandingan, 8 juta tan sampah plastik setahun adalah menyamai membuang muatan sebuah lori sampah pada setiap minit.

Perkembangan membimbangkan itu berlaku ketika kumpulan-kumpulan perunding antarabangsa cuba mencapai perjanjian pertama dunia bagi menangani krisis pencemaran plastik pada tahun ini.

Bagaimanapun, di lima negara yang sangat berbeza, tinjauan AFP mendapati plastik sekali guna kekal popular sebagai pilihan murah dan mudah.

Ia sekali gus menggambarkan cabaran sukar bagi membendungnya.

Di ibu kota Thailand, Bangkok, seorang peniaga manisan tradisional berkata, dia menggunakan sekurang-kurangnya 2 kilogram plastik sekali guna dalam sehari.

“Plastik ini mudah dan murah,” kata pemilik kedai berusia 44 tahun tersebut, Watchararas Tamrongpattarakit.

Thailand mula mengehadkan kegunaan plastik sekali guna sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia, dengan meminta peruncit utama berhenti memberikan beg plastik secara percuma.

Namun, dasar tersebut sebahagian besarnya menemui kegagalan, selepas hanya segelintir penjual makanan mengambil bahagian.

Thailand menghasilkan dua juta tan sisa plastik setahun, demikian menurut Jabatan Kawalan Pencemaran negara itu.

Bank Dunia pula menganggarkan bahawa 11 peratus sisa plastik tidak dikutip. Ia sama ada dibakar, dibuang di darat atau ke dalam sungai serta lautan.

Di kebanyakan negara Benua Afrika pula, sejak 1990-an, uncang plastik telah menjadi bahan pencemar utama tetapi kekal popular untuk kegunaan minuman, memasak dan mencuci.

Di ibu kota Nigeria, Lagos, kira-kira 200 syarikat mengeluarkan uncang plastik untuk mengisi air minunam dan plastik kitar semula lain.

Namun, bekalan jauh melebihi kapasiti di negara itu yang mempunyai sedikit tong sampah awam, manakala rakyatnya kurang pengetahuan tentang kepentingan menjaga alam sekitar.

Sementara itu, di Brazil, papenjual-penjual berjalan di beberapa pantai paling indah di Rio de Janeiro dengan membawa minuman jus buah-buahan diisi dalam cawan plastik.

Peniaga tempatan, Jorge da Silva berkata, dia menyedari kesan buruk alam sekitar akibat penggunaan cawan plastik. Brazil ialah negara penghasil sisa plastik keempat terbesar di dunia pada 2019.

“Namun, amat sukar untuk kami mencari alternatif lain yang murah,” katanya.

Di Perancis pula, plastik sekali pakai telah diharamkan sejak 2016. Walaupun barangan seperti straw dan kutleri plastik sudah tidak digunakan di negara berkenaan, beg plastik tetap menjadi perkara biasa.

“Di Paris semua orang meminta beg plastik. Saya telah berhenti (menggunakannya) tetapi jiran-jiran saya meneruskannya, jadi saya terpaksa menggunakan beg plastik, semula” kata seorang peniaga, Laurent Benacer.

Dalam pada itu, penduduk Emiriyah Arab Bersatu (UAE) muncul negara yang mencatatkan jumlah sisa buangan perkapita tertinggi dunia dengan plastik sekali guna menyumbang 40 peratus daripada semua plastik yang digunakan di negara itu.

Di restoran Allo Beirut di Dubai, bekas-bekas plastik menimbun tinggi, menunggu untuk diisi dan dihantar ke seluruh bandar.

“Kami menerima lebih daripada 1,200 pesanan sehari,” kata pengurus penghantaran Mohammed Chanane.

“Kami menggunakan bekas plastik kerana ia lebih kedap udara dan dapat menyimpan makanan dengan lebih lama tambahnya. – AFP