Pengantin ‘redah’ buat majlis pada bulan puasa

kahwin bulan puasa

Pasangan pengantin melangsungkan perkahwinan pada 1 Ramadan. – TikTok

JAKARTA – Sepasang pengantin baharu di Banjarnegara, wilayah Jawa Tengah menjadi perhatian pengguna media sosial apabila melangsungkan perkahwinan pada hari pertama bulan Ramadan, lapor portal berita Wolipop hari ini.

Menurut jurusolek pengantin, Desta Prayoga, majlis tersebut tetap diadakan meskipun pada bulan puasa bagi mengikut kiraan weton kalendar Jawa.

“Akad nikah dan majlis pada 1 Mac 2025. 

“Sebenarnya, dari awal lagi sudah dijangkakan puasa bermula pada 1 Mac. Namun, disebabkan kiraan hari baik (weton Jawa), majlis tetap diadakan,” katanya.

Tambah Desta, keluarga pengantin dan tetamu yang hadir tetap berpuasa ketika majlis berlangsung dan tiada hidangan makanan disediakan.

“Alhamdulillah, ramai tetamu datang. Tuan rumah memberikan bungkusan makanan kepada tetamu untuk dibawa pulang,” katanya.

Video mengenainya yang dimuat naik di platform TikTok menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada pengguna media sosial.

“Setahu saya, mengikut adat Jawa, tidak boleh mengadakan kenduri kahwin ketika bulan puasa,” kata seorang netizen.

“Kenapa tidak langsungkan akad nikah sahaja dulu? Kemudian, buatlah majlis selepas raya,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI