UMNO Mesti Berkongsi Kuasa, Kekuatan Parti Tidak Memadai Untuk Perintah Sendirian – Khaled Nordin

5451b98a829276423e6ada00521c959666c9bf68858b6Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berucap pada sesi pergulungan Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Dewan Merdeka hari ini.

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Iteenews) — UMNO mesti berkongsi kuasa dengan pelbagai parti lain memandangkan kekuatan parti itu tidak memadai untuk memerintah sendirian, kataNaib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata UMNO tidak lagi boleh memaksa pelbagai parti menyertai BN sebagai komponen, namun itu tidak bermakna parti itu tidak boleh bekerjasama baik dengan parti lain.

"UMNO mesti berkawan, bersahabat dan sentiasa terbuka untuk berkongsi dan berbahagi demi Malaysia yang berjaya. Jadi, realiti politik kepelbagaian dan prinsip kesederhanaan mesti terus menjadi kekuatan dan pegangan UMNO.UMNO mesti bergerak dan memerintah bersandarkan realiti politik kemajmukan," katanya dalam ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung UMNO 2024 di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata parti itutidak lagi boleh menggunakan isu bangsa dan agamasebagai senjata untuk memenangi persaingan kerana sentimen sebegitu sudah tidak sesuai dengan Melayu dalam kurun ke-21.

“Kita mahukan Melayu yang bijaksana dan menjadi pencetus revolusi baharu bagi kemajuan industri, digital dan ekonomi Malaysia. Justeru, segala usaha mesti kita gembleng, agar agenda mengarusperdanakan ilmu pengetahuan, kemahiran dan kebolehsaingan bangsa Melayu disokong dengan bersungguh-sungguh, bukan diambil mudah,” katanya.

Seorang lagiNaib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata UMNO perlu menerima hakikat bahawa mereka yang kini memerlukan sokongan orang Melayu, dan bukan sebaliknya.

Beliau berkata keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di beberapa negeri dengan ramai pengundi dari kaum Melayu yang menyaksikan kekalahan teruk parti itu, adalah manifestasi kepada perkara tersebut.

“Di Kelantan kita ada dua (kerusi) Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 45. Di Terengganu kita ada 0 daripada 36. Di Kedah, kita ada 0 daripada 36. Di Perlis kita ada 0 daripada 15. Di Selangor kita ada dua daripada 56. Ini adalah kawasan-kawasan yang ramai Melayu. Kalau betul UMNO perlukan Melayu, macam mana boleh jadi kosong?” katanya dalam ucapan penggulungannya.

Johari juga menegaskan UMNO perlu lebih dinamik dalam menarik semula sokongan orang Melayu serta bertanggungjawab meningkatkan penyertaan golongan Bumiputera dalam perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *