Timbalan Pesuruhjaya III PAS Melaka Meninggal Dunia

c73fadd5d3a066fa9fce739fa03e11bf66b8ac13e1013fb PAS Negeri Melaka

MELAKA, 11 Ogos (Iteenews) — Timbalan Pesuruhjaya III PASMelaka Muhammad Puhat Bedol meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung, ketika menyertai Kejohanan Sukan Bola Sepak dan Bola Jaring Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Melaka di Kompleks Sukan Batu Berendam, di sini hari ini.

Ahli Jawatankuasa Perhubungan PASMelaka Datuk Kamarudin Sidek berkata Allahyarham Muhammad Puhat, 55, yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Hang Tuah Jaya sebelum itu sedang bermain futsal kategori ibu bapa sebelum rebah dan tidak sedarkan diri, kira-kira 12.30 tengah hari tadi.

Kamarudin, yang juga Yang Dipertua PASKawasan Jasin berkata Allahyarham sempat diberi bantuan pernafasan cemas (CPR) oleh peserta lain pada program itu, sebelum dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Ketika diberi CPR, Allahyarham Muhammad Puhat sempat sedarkan diri seketika sebelum muntah dan dikejarkan ke hospital namun meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi Iteenews di sini hari ini.

Beliau berkata solat jenazah akan dilakukan di Madrasah Al-Ikhlas Taman Jati di Batu Berendam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Bidadari Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Ayer Keroh di sini selepas maghrib.

Muhammad Puhat dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya III Pas Melaka bagi sesi 2023-2025.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *