Tengku Zafrul Zahir Penghargaan Kepada Rakan-rakan Dalam UMNO, Tekad Sertai PKR

3cf160c989faa9426fa7e5b78238cd51683af6d908bfaMenteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika ditemui Iteenews di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 sebelum berangkat menunaikan ibadah Haji.

Oleh Muhammad Adil Muzaffar Mohd Fisol

SEPANG, 31 Mei (Iteenews) — Menteri Pelaburan, Perdagangan dan IndustriTengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hari ini menzahirkan penghargaan kepada rakan-rakan seperjuangannya dalam UMNO, namun mengesahkan tekadnya untuk berhijrah ke Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bercakap kepada Iteenews di sini, beliau berkata keputusan meninggalkan UMNO dan menyertai PKR diambil hasil pertimbangan mendalam dan sepenuhnya yang datang daripada dirinya sendiri, tanpa dipaksa atau dipengaruhi mana-mana pihak.

“Keputusan ini bukanlah satu keputusan yang mudah, tetapi saya telah memikirkannya secara mendalam. Saya menghargai mereka yang memahami hak saya sebagai individu dalam memilih hala tuju politik saya.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) serta rakan-rakan dan ahli-ahli UMNO yang telah banyak membantu, memberi sokongan dan dorongan sepanjang saya aktif dalam UMNO,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji.

Beliau turut memohon agar diberikan ruang untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada rukun Islam kelima itu bersama keluarganya, di samping memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kekhilafan sepanjang hubungan persahabatan beliau dengan pelbagai pihak.

“Insya-Allah, saya akan sentiasa mendoakan kesejahteraan negara dan kemakmuran seluruh rakyat Malaysia ketika berada di Tanah Suci,” katanya.

Tengku Zafrul turut ditanya mengenai desakan sesetengah pihak agar beliau meletakkan jawatan menteri memandangkan ia merupakan kuota UMNO.

“Saya ingin memberi fokus kepada ibadah haji dan saya serahkan segala urusan itu kepada kebijaksanaan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya.