Syahredzan Johan
KUALA LUMPUR, 7 April (Iteenews) –Pemimpin Melayu dalam DAP bersedia turun padang membantu calon Barisan Nasional (BN) mewakili Kerajaan MADANI dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Syahredzan Johan berkata ini selaras dengan kenyataan Timbalan Pengerusi DAP Nga Kor Ming bahawa parti itu akan turut menghantar jentera DAP, termasuk pemimpin dalam kalangan Melayu bagi memberi sokongan kepada bakal calon.
“Bergantung kepada keperluan kempen. Saya dan Young Syefura Othman (antara pemimpin Melayu dalam DAP) bersedia untuk turun membantu jentera BN dan Kerajaan MADANI di PRK itu,” katanya pada sidang media mengenai peranan dan aspirasi pemimpin Melayu dalam DAP pascapemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC)di sini hari ini.
Turut hadir Young Syefura yang dipilih sebagai Penolong Setiausaha Publisiti DAP pada pemilihan CEC, 16 Mac lepas.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh bagi penamaan calon PRK berkenaan pada 12 Aprilmanakala undi awal 22 April dan hari pengundian pada 26 April,membabitkan 31,897 pengundi berdaftar.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnyaIshsam Shahruddin, 59, selepas rebah akibat serangan jantung ketika menyertai perlawanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lepas.
Sementara itu, mengenai pascapemilihan CEC DAP, Syahredzan berkata pemimpin Melayu dalam parti itu akan terus berusaha untuk mendekati masyarakat Melayu serta menguatkan sokongan masyarakat daripada pelbagai etnik dan agama.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai anak muda, termasuk anak muda Melayu serta golongan wanita menunjukkan minat terhadap DAP dan ada yang telah menyertai sebagai ahli parti.
“Usaha untuk menggalakkan penyertaan baharu, termasuk dalam kalangan orang Melayuakan terus diperkasakan selagi mana mereka mendukung prinsip dan perjuangan parti,” katanya.