PRK Ayer Kuning: Calon BN Diminta Lengkapkan Kempen Di 20 PDM Pada Minggu Pertama

619d0286c5a9c8a056fa7bad96a3486b680100a333c0f Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Datuk Seri Ahmad Maslan bergambar bersama calon Barisan Nasional Dr Mohamad Yusri Bakir ketika membantu beliau berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, di Pusat Daerah Mengundi Batu Tiga hari ini.PRK DUN Ayer Kuning akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calor BN, calon Perikatan Nasional Abd Muhaimi Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia Bawani KS pada 26 April ini.

TAPAH, 17 April (Iteenews) — Calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakirdiminta melengkapkan kesemua siri kempen di 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Ayer Kuning pada minggu pertama ini bagi memastikan gerak kerjamempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berjalan lancar.

Ketua Sekretariat War Room UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada Mohamad Yusri sebelum hari penamaan calon pada 12 April lepas, bagi mengelakkan kekangan masa pada saat akhir kempen.

“Bagi minggu kedua, perlu ulang balik (kempen di PDM) tetapi lebih berfokus,”katanya kepada pemberita selepas melawat PDM Batu Tiga di sini hari ini.

Ahmad berkata UMNO juga mengamalkan kaedah jentera berlapis merangkumi jentera tempatan, bahagian angkat dan negeri angkat, berperanan membantu mengukuhkan kehadiran serta gerakan parti di peringkat akar umbi.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata ketiga-tiga lapisan ini memainkan peranan penting terutama dalam mendepani cabaran sepanjang kempen termasuk memastikan pengundi luar kawasan balik mengundi.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 26 April ini, manakala pengundian awal pada 22 April.