PRK Ayer Kuning: BN Tumpu Santuni Pengundi, Tiada Ceramah Besar-besaran – Ahmad Zahid

d9f95cf1a945696395b01c41fc710c4f67f9f5f6e1173Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bersama kepimpinan tertinggi parti komponen menyanyikan lagu Barisan Naional sebelum berarak ke Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Dewan Merdeka di sini, hari ini.– fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

TAPAH, 12 April (Iteenews) — Barisan Nasional (BN) tidak akan mengadakan ceramah berskala besar sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, kata Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sebaliknya, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata parti itu akan memberi tumpuan kepada pendekatan mendekati dan menyantuni setiap pengundi di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, tidak banyak isu tempatan yang boleh dibangkitkan pihak pembangkang, melainkan isu di peringkat nasional, dan BN bersedia menjawab serta menangkis segala dakwaan.

“Jawapan yang diberikan Insya-Allah bukan sahaja akan memuaskan hati para pengundi di sini, malah mampu memberikan penjelasan terhadap isu-isu yang dibangkitkan,” katanya pada sidang media selepas proses penamaan calon PRK DUN Ayer Kuning di Dewan Merdeka, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pihaknya akan meneliti keperluan pembangunan di kawasan berkenaan yang boleh ditambah baik demi kesejahteraan penduduk.

“Ayer Kuning merupakan kawasan luar bandar, dan Insya-Allah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan mempertimbangkan pembangunan infrastruktur berterusan di kawasan ini.

“Kita berharap pengundi di Ayer Kuning dapat memberikan sokongan kepada calon BN Dr Mohamad Yusri Bakir, yang telah berjanji untuk meneruskan kesinambungan khidmat seperti yang pernah diberikan oleh Allahyarham Ishsam Shahruddin,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas dakwaan kononnya Pemuda UMNO memboikot calon BN, Ahmad Zahid menafikan perkara tersebut dan yakin sayap parti itu akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada Mohamad Yusri.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tigapenjuru antaraMohamad Yusri, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan calonParti Sosialis Malaysia (PSM)Bawani KS.