PRK Ayer Kuning: AMH Rangka Strategi Tarik Sokongan Pengundi Muda

773d7cbd4e47aa6bee27641f462b344467e138f2d8530Woo Kah Leong

TAPAH, 24 Mac (Iteenews) — Angkatan Muda Harapan (AMH) merangka strategi bagi memastikan undi golongan muda berpihak kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Ketua AMH Woo Kah Leong berkata sayap gabungan Pakatan Harapan (PH) itu akan menggerakkan seluruh kekuatan untuk memastikan kerusi DUN Ayer Kuning kekal milik BN.

"Kita sudah ada kerangka atau strategi hasil daripada mesyuarat yang diatur sebelum ini antara kedua-dua jentera dari PH dan BN yang akan bekerja dalam satu pasukan untuk gerak kerja di Ayer Kuning.

"Formula yang digunakan adalah perpaduan untuk semua dan bukan hanya bergerak secara berasingan malah kami akan bergerak dalam satu naratif yang sama bagi memenangkan calon Kerajaan Perpaduan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Penerangan AMH Ammar Atan dan Pengarah Pilihanraya AMH PRK Ayer Kuning Khairol Najib Hashim yang juga Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak.

Sementara itu, Khairol Najib berkata pihaknya akan memantapkan strategi kempen secara dalam talian kerana ia bersifat masa nyata, cepat dan mudah sampai kepada golongan sasar, khususnya pengundi muda yang berada di luar kawasan.

"Dalam konteks demokrasi digital, media baharu menjadi alat penting yang digunakan untuk memenangi hati dan mencorak persepsi pengundi berusia 18 hingga 40 tahun.

"Selain pengundi luar, kita juga akan memberi fokus kempen untuk memastikan ahli dan penyokong parti gabungan mengundi calon Kerajaan Perpaduan pada hari mengundi 26 April ini," katanya.

Beliau berkatapihaknya menjangkakan lebih 80 peratus pengundi akan keluar mengundi dan pengundi luar balik ke kampung halaman untuk mengundi serta yakin sasaran itu dapat direalisasikan.