Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Fahmi Fadzil ditemu bual pemberita sempena Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Persada Johor International Convention Centre.–fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
JOHOR BAHRU, 22 Mei (Iteenews) — Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu memanfaatkan sepenuhnya tempoh selepas pemilihan parti untuk menyatukan kekuatan dan memperkukuh hubungan dengan akar umbi, kata Ketua Penerangan PKR Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi, yang menawarkan diribertanding jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), berkata langkah itu perlu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.
"Pemilihan adalah saat di mana kita perlu membuat pilihan tetapi ada satu perkara lebih penting iaitu kita perlu melaksanakan apa yang diidam, dihasrat, yang menjadi aspirasi dan harapan akar umbi," katanya pada program Grand Finale 'Bersama Membina Parti Kita'di sinihari ini.
Program itu turut dihadiri calon Timbalan Presiden Nurul Izzah Anwar,Naib Presiden yang juga Menteri Besar SelangorDatuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Wanita yang juga Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, yang mempertahankan jawatan masing-masing pada pemilihan partibagi penggal 2025-2028.
Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi, turut mengingatkan semua menteri dan pemimpin parti untuk terus dekat dengan rakyat serta tidak terpisah daripada jentera di peringkat Cabang.
"Pesanan daripada Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dari awal lagi kepada semua menteri, luangkan masa pergi ke negeri-negeri… dalam membuat lawatan kerja, luangkan juga masa bertemu akar umbi, luangkan masa bersama Ketua Cabang dan anggota, jangan pisahkan diri," katanya.
Sementara itu, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR dalam ucapannya meminta untuk diberikan peluang menggalas tanggungjawab tersebutdan meletakkan visi untuk bersama-sama dengan akar umbi memperkuatkan parti.
Beliau berharap dalam menghadapi PRU16, pimpinan dan ahli PKR dapat meningkatkan penglibatan dengan rakyat termasuk menjelaskan segala dasar serta program yang dibawa oleh parti untukrakyat.
Pemilihan bagi jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Nurul Izzah dengan penyandangnya, Datuk Seri Rafizi Ramli yang juga Menteri Ekonomi.