Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa
KUALA LUMPUR, 9 April (Iteenews) — PKR memperkenalkan teknologi blockchain dalam sistem pemilihan parti berkenaan bagi memastikan tahap keselamatan dan ketulenan data pengundi dalam talian, selain menjamin integriti pengundian.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata mekanisme sekuriti itu diperkenalkan dan pengundi atas talian perlu mengesahkan identiti mereka dengan mendapatkan nombor pas pengesahan transaksi (OTP) melalui nombor telefon yang berdaftar serta melalui pengesahan pengecaman wajah.
“Pengundi fizikal pula perlu membawa kad pengenalan mereka ke pusat mengundi dan perlu melalui pengesahan biometrik cap jari untuk pengesahan identiti.
“Langkah ini menjadikan PKR sebagai parti politik pertama di Malaysia yang menerapkan pendekatan teknologi secara menyeluruh dalam proses demokrasi dalaman, sekali gus memperkukuh kedudukan parti sebagai pelopor pembaharuan politik yang progresif dan berteraskan teknologi,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebooknya hari ini.
Mengulas lanjut, Zaliha berkata proses pemilihan kali ini turut menyaksikan jumlah pengundi berdaftar yang menggalakkan iaitu mencapai sehingga 296,403 anggota layak mengundi.
“Daripada jumlah itu, 8,040 anggota (2.7 peratus) memilih untuk mengundi secara fizikal, manakala selebihnya memilih menggunakan saluran dalam talian menerusi aplikasi ADIL.
“Proses pengundian bagi kedua-dua kaedah ini akan dijalankan serentak mulai pukul 8 pagi hingga 5 petang dan keputusan akan diumumkan pada hari sama bagi cabang-cabang mengikut tarikh yang telah ditetapkan JPP,” katanya.
Zaliha berkata pemilihan cabang PKR 2025 kini memasuki fasa akhir iaitu fasa pengundian yang akan berlangsung bermula 11 hingga 20 April secara berperingkat mengikut negeri.
“Sehingga tarikh tutup pencalonan, 16,878 calon disahkan bertanding bagi pelbagai peringkat jawatan di 222 cabang, dengan 31 cabang pula menyaksikan tiada pertandingan di peringkat jawatankuasa cabang.