PKR Perak Perkukuh Kerjasama Dengan BN Hadapi PRU16

c15fdb13d7f1bcb357c951c7e2cf2b0b670269da6df45–fotoBERNAMA (2024)

IPOH, 5 Okt (Iteenews) — Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak akan mengukuhkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) di peringkat kepimpinan negeri dan akar umbi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pengerusi PKR Perak Mohamad Hairul Amir Sabri berkata hubungan erat antara kedua-dua pihak akan melahirkan semangat kebersamaan sekali gus menjadi pemudah cara dalam melancarkan urusan pembahagian kerusi pilihan raya.

“Hubungan sedia ada bersama BN berjalan baik cuma ia perlu diperkasakan melalui pelbagai program atau aktiviti yang memberi manfaat serta nilai tambah antara kedua-dua pihak.

“Ia akan memudahkan lagi urusan pembahagian kerusi, dan pada masa sama melancarkan gerak kerja untuk mengekalkan kedudukan kerajaan ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Pejabat PKR Perak di sini hari ini.

Pada 15 Sept lalu, Mohamad Hairul yang menyandang jawatan Timbalan Pengerusi PKR Perak dilantik sebagai Pengerusi PKR Perak menggantikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Setiausaha PKR Perak Mohd Azlan Helmi pula dilantik sebagai Timbalan Pengerusi PKR Perak sepertimana diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Sementara itu, Mohamad Hairul berkata pihaknya juga akan melaksanakan gerak kerja bagi memastikan sasaran 100,000 ahli menjelang akhir tahun ini dapat direalisasikan.

Beliau berkata buat masa ini keahlian parti di peringkat negeri adalah seramai 86,481 individu melibatkan 24 cabang di seluruh Perak.

“Penumpuan khusus akan diberikan bagi meningkatkan jumlah keahlian anggota baharu terutama golongan belia yang menjadi komponen penting dalam mengukuhkan keberadaan PKR Perak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *