Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda MCA Masing-masing Lulus Lima Resolusi

bffd13fafbc62d3543a55cf2b41338986714f521ef610Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zahid Hamidi (tengah) ketika hadir pada Perhimpunan Agung Perwakilan MCA ke-71 di Wisma MCA. Turut hadir Presiden MCA Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong (enam, kiri) dan Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan (empat, kanan).

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Iteenews) –Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-49 Pergerakan Wanita MCA hari ini meluluskan lima resolusi merangkumi hal ehwal parti, politik, ekonomi, pendidikan dan dasar negara.

Ketetapan itu diluluskan 843 perwakilan yang menghadiri AGM berlangsung di Wisma MCA, di sini selepas dibahaskan oleh 10 perwakilan dari 10 negeri.

Resolusi itu antara lain menuntut sepenuhnya pelaksaan langkah-langkah pembaharuan parti sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum selain meneruskan peranan MCA sebagai semak dan imbang bagi kerajaan.

Wanita MCA turut menuntut semua parti politik melarang pemimpin dan ahli masing-masing daripada memainkan isu perkauman dan menunggang agama untuk menghasut masyarakat serta mengancam keharmonian selain menggesa kerajaan menangani masalah kekurangan guru di sekolah dan memperhalusi isu hak kewarganegaraan.

Sebelum itu, Ketua Wanita MCA Datuk Wong You Fong dalam ucapannya berkata Malaysia masih memerlukan lebih banyak usaha untuk mencapai kesaksamaan gender.

Beliau berkata kejayaan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkenaan kewarganegaraan yang diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini disifatkan satu langkah penting yang membolehkan ibu dan bapa mempunyai hak yang sama untuk mewariskan kewarganegaraan Malaysia kepada anak-anak mereka.

“Pindaan ini merupakan langkah penting untuk kesaksamaan gender di Malaysia, malah isu ini menjadi perjuangan advokasi jangka panjang Wanita MCA selama ini dan usaha ke arah kesaksamaan gender mesti diteruskan, terutamanya dalam melindungi hak-hak wanita,” katanya.

Sementara itu, lima resolusi dikemukakan pada Perhimpunan Agung Pemuda MCA ke-60 yang berlangsung hari ini turut diluluskan sebulat suara oleh 328 perwakilan.

Resolusi merangkumi perkara berkaitan hal ehwal parti, belia dan sukan, ekonomi, politik serta pendidikan, diluluskan selepas dibahaskan oleh 13 perwakilan dari sembilan negeri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *