KUALA LUMPUR, 18 April (Iteenews) — Pengerusi PKR Kelantan Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Cabang Tanah Merah pada Pemilihan PKR 2025peringkat Cabang, Wanita Cabang, dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang, yang berlangsung hari ini.
Beliau yang memperoleh 1,108 undi, menewaskan pencabarnya Mohd Hanuzi Zaharim yang hanya meraih 351 undi.
Kemenangan Suparadi itu diumumkan menerusi laman rasmi Pemilihan PKR 2025, https://pemilihan.keadilanrakyat.org.
Turut berjaya mengekalkan jawatan sebagai ketua cabang ialah Pengerusi PKR Terengganu Ahmad Nazri Mohd Yusof yang menang dalam pertandingan sengit di Kemaman.
Beliau yang memperoleh 383 undi menewaskan tiga pencabarnya, iaitu Amir Hamzah Ghazali yang mendapat 370 undi, Hasuni Sudin (244 undi) dan Saikri Ngah@Choh (92 undi).
Pemilihan PKR bagi peringkat Cabang, AMK Cabang dan Wanita Cabang yang memasuki fasa dua pengundian hari ini, menyaksikan hampir 30,000 ahli berdaftar di Terengganu dan Kelantan menunaikan tanggungjawab mereka.
Proses pemilihan yang bermula dari 8 pagi hingga 5 petang ituberlangsungsecara fizikal dan dalam talian.
Selain Terengganu dan Kelantan, fasa dua pengundian yang diadakan hingga Ahad ini (20 April) turut melibatkan Wilayah Persekutuan, Pahang, Pulau Pinang, Johor dan Sabah.
Sebelum ini, fasa satudiadakan dari 11 hingga 13 Aprilmembabitkan Kedah, Perlis, Selangor, Melaka, Perak, Negeri Sembilan dan Sarawak.