Pemilihan PKR: Amirudin Bertanding Jawatan Peringkat Pusat

36f05335563bc4cafed4dec16673020967bc0627a3a80Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari

SHAH ALAM, 24 Feb (Iteenews) — Naib Presiden PKR Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan akan bertanding bagi peringkat pimpinan pusat pada pemilihan partipada 24 Mei ini.

Menteri Besar Selangor itu bagaimanapun berkata beliau belum memutuskan jawatan yang bakal ditandinginya, mengambil kira keperluan mewujudkan kestabilan dan kepentingan PKR sebagai antara parti tunjang dalam pembentukan kerajaan Perpaduan.

Amirudin mengakui telah bertemu beberapa pihak, dengan ada antara mereka menyarankan beliau untuk mengekalkan jawatan sedia, selain terdapat saranan melibatkan jawatan lain.

“Saya perlukan sedikit masa. Bagi saya, yang penting bukan kedudukan dalam PKR tetapi bagaimana untuk memperkukuh parti. Adakah tujuan danniat saya bertanding akan memperkemas atau menimbulkan perpecahan dalam parti?

“Pada waktu ini PKR adalah parti kerajaan dan antara tunjang penting dalam Kabinet termasuk jawatan Perdana Menteri. Apa-apa berlaku di peringkat parti akan memberi kesan kepada kerajaan. Itu harus difikirkan dengan teliti,” katanya.

Amirudin berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan bas elektrik bagi program SMART Selangor, di sini hari ini.

Mengulas mengenai jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang dijangka tidak dipertandingkan pada pemilihan kali ini, Amirudin berpandangan terdapat ruang untuk perbincangan berhubung perkara itu.

Beliau berkata hak demokrasi tetap diberikan dalam pemilihan tersebut dan parti juga terbuka kepada mana-mana ahli untuk berbanding.

“Tetapi kalau pertandingan itu akhirnya menimbulkan perbalahan dan menggoyang parti dalam jangka panjang terhadap keutuhan kerajaan, saya rasa ia wajar dimusyawarahkan (dirundingkan),” katanya.