Dr Muhammad Akmal Saleh
KUALA LUMPUR, 4 Jan (Iteenews) — Hantaran berbentuk kiasan yang dikongsi Ahli Parlimen Pasir Mas Fadhli Shaari di media sosial sejak malam tadi menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pemimpin politik dan wakil rakyat, yangmempersoalkan maksud sertatujuan hantaran berkenaan.
Ketua Pemuda UMNO Datuk DrMuhamad Akmal Salehberkata Fadhli perlu tampil menjelaskan maksud hantaran berkenaan dan menganggap kiasan seperti itu bukan tindakan seorang lelaki sejati.
“Kalau tak sanggup nak beritahu, kita jumpa 6/1 (6 Jan) ini untuk kita tanya YB (Yang Berhormat) secara berdepan ya,”kata Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu menerusi hantaran ringkas di Facebook hari ini.
Malam tadi, Fadhli berkongsi satu hantaranyang dikaitkan oleh pelbagai pihak dengan keputusan UMNO membatalkan himpunan solidariti bagi menyokong bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Istana Kehakiman Putrajaya, pada Isnin ini.
“Disangka jantan berkokok nyaring, rupanya ayam betina bertelur sebiji. Disergah biawak, digadai reban,” kata Fadhli dalam hantaran berkenaan.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataan malam tadi berkata keputusan membatalkan himpunan itu selaras dengan prinsip menghormati titah Yang di-Pertuan Agong mengenai cadangan untuk memberi pengampunan atau pengurangan hukuman kepada mana-mana banduan, serta arahan Ketua Polis Negara untuk tidak membenarkan sebarang perhimpunan berkaitan isu tersebut.
Walaupun tidak menyatakan untuk siapa hantaran berkenaan ditujukan, beberapa ahli Parlimen kerajaan mendakwa Fadhli seolah-olah menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.
Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari berkata kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas itu menimbulkan kekeliruan, kerana muncul sejurus selepas Istana Negara mengeluarkan kenyataan berkaitan rayuan kepada Lembaga Pengampunan dan UMNO menarik semula hasrat untuk berhimpun.
Beliau berkata tindakan sebegitu tidak boleh diterima dan menunjukkan sikap sebenar PAS terhadap kedaulatan institusi diraja.