Muhammad Izuan Tawar Diri Bertanding Jawatan Timbalan Ketua AMK

c13183436981fb49d72c74d0db1f75206509ae72aad12 Ketua AMK Selangor Muhammad Izuan Ahmad Kasim

SHAH ALAM, 22 Mac (Iteenews) — Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) SelangorMuhammad Izuan Ahmad Kasim hari inisecara rasmi menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Ketua AMK bagi sesi 2025-2028 pada pemilihan PKR Mei ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara itu berkata beliau mengambil keputusan itu memandangkan pemilihan kali ini bukan sekadar untuk memilih kepimpinan parti semata-mata, tetapi ia bakal menentukan masa depan AMK dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 nanti.

“AMK bukan hanya sayap parti. Ia adalah barisan hadapan perjuangan. Berjuang demi keadilan bukan sekadar retorik, tetapi prinsip yang saya pegang teguh sejak zaman mahasiswa.

“Dengan Perdana Menteri datangnya dari parti Keadilan, menjadi tanggungjawab AMK untuk memastikan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim terus kukuh dan Keadilan kembali merampas kerusi yang terlepas,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Jawatan Timbalan Ketua AMK ketika ini disandang Muhammad Kamil Abdul Munim yang merupakan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri.

Muhammad Kamil sebelum ini mengesahkan untuk bertanding jawatan Ketua AMK yang kini disandang Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim, pada pemilihan PKR itu nanti.