President MCA Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong.
KUALA LUMPUR, 1 Mac(Iteenews) — MCA komited untuk bertanding dalam semua pilihan raya negeri dan umum akan datang, dengan matlamat utama untuk memenangi lebih banyak kerusi, kata Presiden parti ituDatuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Beliau berkata sekiranya MCA gagal memenangi sebarang kerusi selama lima tahun berturut-turut, parti berkenaan berisiko hilang daripada perhatian rakyat dan tidak mampu lagi melaksanakan idealismenya.
"Dengan pilihan raya penting di Sabah, Melaka dan Johor yang semakin hampir, diikuti pilihan raya umum akan datang, saya menggesa semua ahli untuk menumpukan masa, tenaga dan sumber mereka bagi membuat persiapan menghadapi pilihan raya," katanya pada sambutan ulang tahun ke-76 parti itu di Wisma MCA di sini hari ini.
Beliau berkata MCA kini hanya memegang dua kerusi Parlimen dan tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.
"Itulah sebabnya saya merayu kepada semua agar membantu parti ini mendapatkan semula beberapa kerusi dengan bermaruah. Memulihkan kembali maruah kita melalui usaha sendiri ialah perkara yang paling penting," katanya.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-15, Wee berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Ayer Hitam manakala Datuk Seri Wee Jeck Seng mengekalkan kerusi Tanjung Piai.
Bagi kerusi DUN, MCA memenangiChenderiang, Machap Jaya, Kelebang, Bekok, Yong Peng, Paloh, dan Pekan Nanas.
Wee turut menekankan peranan MCA dalam Kerajaan Perpaduan dengan menyatakan parti berkenaan bertindak sebagai mekanisme semak dan imbang, memastikan akauntabiliti kerajaan dengan menyokong dasar yang memberi manfaat kepada rakyat serta menentang sebarang keputusan yang dianggap membebankan.
Sementara itu, dalam sidang media, Wee berkata kepimpinan negeri dan bahagian MCA diminta untuk mengemukakan cadangan calon lebih awal bagi kawasan yang ingin ditandingi bagi memudahkan pemilihan oleh peringkat tertinggi.