Timbalan Ketua Penerangan 1 Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri R. Ramanan bercakap pada sidang media selepas pertemuan khas Ketua Cabang PKR di sebuah hotel di Ipoh.–fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Timbalan Ketua Penerangan 1 Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri R. Ramanan ketika hadir pada pertemuan khas Ketua Cabang PKR di sebuah hotel di Ipoh.–fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
IPOH, 12 Mei (Iteenews) — Sokongan terhadap Nurul Izzah Anwar untuk merebut jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti bagi sesi 2025-2028 penting sebagai persediaan mengukuhkan parti ke arah menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Timbalan Ketua Penerangan PKR 1 Datuk Seri R Ramanan berkata khidmat Nurul Izzah sebagai 'panglima perang' diperlukan berdasarkan rekod parti yang berjaya merebut banyak kerusi semasa PRU14 ketika bertindak sebagai Pengarah Pilihan Raya PKR.
“Kita memerlukan beliau sebagai Pengarah Pilihan Raya pada PRU akan datang untuk menggunakan formula yang pernah digunakan pada PRU14, menyaksikan parti telah memenangi 47 kerusi.
"Kerusi paling banyak kami telah menang adalah semasa saudari Nurul Izzah menjadi Pengarah Pilihan Raya, jadi prestasi beliau telah terbukti berdasarkan rekod terdahulu.
"Kalau kali ini saudari Nurul Izzah (menjadi) Timbalan Presiden dan Pengarah Pilihan Raya, saya ingat mungkin 70 kerusi Parlimen pun boleh (menang) atau 80 kerusi boleh,” katanya pada sidang media Pertemuan Khas Ketua Cabang Bersama Ramanan Ramakrishnan di sini hari ini.
Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata sokongan kepada Nurul Izzah telah diterjemahkan menerusi pertemuan bersama ketua cabang Perak apabila 22 daripada 24 pemimpin hadir pada majlis tersebut.
Selain itu, Ramanan yang juga Calon Naib Presiden PKR pada pemilihan kali ini berkata sokongan masyarakat India terhadap PKR semakin positif berikutan penyertaan komuniti tersebut melalui pembabitan mereka dalam pilihan raya sebelum ini.
Beliau berkata perkembangan itu disebabkan usaha kerajaan MADANI menyediakan pelbagai program membabitkan masyarakat India dengan peruntukan terbesar dalam sejarah negara.
"Hampir lebih RM400 juta kita keluarkan untuk program inisiatif bagi komuniti India yang sebelum ini hanya ada RM100 juta saja untuk Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA)," katanya.