Anthony Loke
KUALA LUMPUR, 14 April (Iteenews) –Sebarang bentuk kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) bersama Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada tahun iniakan dimuktamadkan tidak lama lagi.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata perkara berkenaan akan diputuskan dalam mesyuarat rasmi melibatkan parti-parti di dalam gabungan itu nanti.
“Perkara itu (kerjasama) tidak jadi masalah, bagaimanapun ketika ini belum ada sebarang keputusan rasmi mengenainya termasuk berkaitan bentuk kerjasama yangakan dilakukan, kita akan bincang dalam mesyuarat rasmi itu nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Bantuan Bencana DAP Malaysia kepada mangsa kebakaran saluran gas Putra Heights, Subang Jaya di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Putra Heights, dekat sinihari ini. Turut hadir Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han.
Loke yang juga Menteri Pengangkutan bagaimanapun tidak memberi perincian bilakah mesyuarat itu akan diadakan.
Semalam, media melaporkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan parti itu akan bergabung dengan PH bagi menghadapi PRN Sabah yang dijadual pada tahun ini.
Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata keputusan berkenaan dimuktamadkan bagi menjawab persoalan pelbagai pihak mengenai siapakah rakan kerjasama UMNO bagi menghadapi PRN itu.
Ditanya mengenai perkembangan mengenai Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui yang ditahan polis hari ini bagi membantu siasatan kerana didakwa menghalang penjawat awam menjalankan tugas ketika operasi penguatkuasaan kebun durian di Raub minggu lepas, Loke berkata perkara itu akan diuruskan oleh peguam parti.
Dalam pada itu, menjawab pertanyaan media mengenai tindakan Perikatan Nasional (PN) menggunakan sepanduk karikatur pemimpin PH termasuk dirinya pada perarakan penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada Sabtu, Loke berkata beliau tidak mempunyai masalah mengenai perkara itu.