Parti-parti politik yang bertanding mula memasang bendera parti masing-masing di sekitar kawasan Jambatan Pulau Setelu sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.43 Nenggiri hari ini.Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos, manakala hari mengundi awal pada 13 Ogos tidak akan diadakan selepas kesemua 14 pengundi terlibat memilih mengundi secara pos susulan keperluan mereka bertugas sepanjang tempoh berkempen.PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim, digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.– fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
GUA MUSANG, 11 Ogos (Iteenews) — Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri kini masuk ke pusingan kedua dengan tempoh berkempen berbaki enamhari lagi untuk calon masing-masing merayu undi daripada kira-kira 20,000 pemilih di DUN berkenaan.
Sepanjang separuh masa pertama kempen, tidak dinafikan cabaran utama kedua-dua calon Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dari Barisan Nasional (BN) dan Mohd Rizwadi Ismail dari PAS, sudah pastinya untuk bertemu kesemua pengundi di DUN itu yang berkeluasan hampir dua kali ganda saiz Melaka.
Dengan keluasan sedemikian, selain jarak penempatan penduduk yang ada memerlukan sehingga enam jam untuk sampai, ditambah penempatan yang hanya boleh dicapai melalui jalan air, ia membataskan pergerakan kedua-dua calon.
Perang poster juga boleh dikatakan hanya di kawasan berpendudukan ramai, dan tidak begitu meriah di keseluruhan DUN.
BagaimanapunMohd Azmawi Fikri, 38 yang dikenali dengan panggilan ‘Awie’ berkata beliau telah selesai menjalankan ziarah pusingan pertama di semua 20 pusat daerah mengundidi DUN itu pada hari kelima kempen, dan ia akan diteruskan sehingga tamat tempoh berkempen pada 11.59 malam 16 Ogos ini.
Dari segi kempen, berbeza pilihan raya-pilihan raya sebelum ini, jentera BN yang dibantu Pakatan Harapan (PH) kali ini memilih pendekatan hanya menyantuni pengundi melalui program-program kecil, tanpa ceramah mega, manakala program calon disusun bermula seawal Subuh setiap hari.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan semasa ditemui media baru-baru ini berkata BN memillih untuk fokus kepada ceramah kelompok bagi menyantuni pengundi secara dekat yang dipanggilnya ‘gerak tumpu akar umbi’ berbanding ceramah besar-besaran.
“Saya sendiri dan beberapa pemimpin parti ada menyertai ceramah kelompok dan kita tidak mahu menyusahkan orang datang ke ceramah-ceramah besar ni. Puncanya kerana yang ramai datang pun orang luar,” katanya.
Jentera Perikatan Nasional pula dilihat memilih untuk mengadakan ceramah di pentas lebih besar, selain ada di antara kempen ceramah pada waktu malam dibuka dengan persembahan dikir barat bagi menarik kunjungan.