Steven Sim Chee Keong
GEORGE TOWN, 22Mac (Iteenews) — DAP telah kembali bersatu dan fokus strateginya selepas pemilihan parti itu dan kini bersiap sedia untuk memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kata Timbalan Setiausaha Agungnya yang baharu dilantik Steven Sim Chee Keong.
“Pada setiap pemilihan, pasti akan ada persaingan… akan ada pertandingan, tetapi saya telah tegaskan sejak hari pertama bahawa kita semua pasti akan bekerjasama, bukan sahaja untuk membawa mandat daripada perwakilan, tetapi juga untuk memastikan kemenangan Pulau Pinang dalam pilihan raya akan datang,” katanya.
Sim berkata perwakilan Pulau Pinang telah diberikan peranan utama dalam pemilihan kepimpinan parti, yang dilihatnya sebagai satu petanda baik.
Mengulas mengenai kesiapsiagaan PH Pulau Pinang untuk PRU16, terutamanya di Seberang Perai yang Perikatan Nasional (PN) mencatatkan peningkatan ketara dalam pilihan raya lepas, Sim yang juga pengerusi DAP negeri berkata kempen parti telah berjalan sejak PRU15.
“DAP Pulau Pinang akan menubuhkan satupasukan khas bagi merangka strategi memenangi PRU16.
“Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Pulau Pinang telah turun bekerja di lapangan serta berkhidmat untuk rakyat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa PH Pulau Pinang Bersama-sama Pengamal Media di sini, malam tadi.
Sim yang juga Menteri Sumber Manusia dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata pasukan khas itu, khusus untuk kawasan yang diwakili wakil rakyatDAP di Pulau Pinang, namun parti itu akan bekerjasama dengan semua partidalam kerajaan MADANIuntukmemastikan kemenangan parti komponen.
“Saya percaya di Pulau Pinang, kita mempunyai kelebihan sebagai kerajaan negeri dan Persekutuan, jadi anda lihat wakil rakyat kita sama ada ADUN atau Ahli Parlimen, mereka semua sangat rajin. Mereka ada sepanjang masa untuk rakyat,” katanya.
Majlis itu turut dihadiri Pengerusi PH Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang juga Ketua Menteri dan Naib Pengerusi PH Dr Zaidi Zakaria yang juga Timbalan Pengerusi Amanah Negara.