DAP Melaka Tawar Khidmat Nasihat Guaman Percuma Bermula 14 Nov Ini

4f5a28cc69e7861f1fadd9ed1fc54b36672f28f0e5353Pengerusi DAP Melaka, yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong (tengah), bercakap kepada pemberita mengenai khidmat nasihat guaman percuma yang ditawarkan oleh parti tersebut dalam sidang media di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Pemuda DAP Melaka Cassel Krishnan (kiri) dan Ketua Biro Guaman Pemuda DAP negeri Cassian Anthony (kanan).–fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

MELAKA, 9 Nov (Iteenews) — DAP Melaka menerusi Biro Guaman Pemuda negeri menawarkan khidmat nasihat guaman percuma kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang politik atau kaum di dalam dan luar negeri itu bermula 14 Nov ini.

Pengerusi DAP Melaka Khoo Poay Tiong berkata inisiatif berkenaan bertujuan membantu golongan memerlukan khususnya kumpulan B40 yang berdepan kekangan kewangan untuk mendapatkan khidmat guaman sekali gus memberi panduan kepada mereka yang berdepan masalah atau isu melibatkan undang-undang.

Beliau berkata khidmat nasihat guaman itu melibatkan pelbagai aspek atau isu meliputi hak asasi manusia termasuk ibu tunggal, wanita diceraikan serta tidak mendapat nafkah.

\”Saya mendapat maklumat ramai dalam kalangan B40 sering kali tidak berpeluang mendapat khidmat guaman bagi isu yang mereka hadapi kerana kekangan kewangan sekali gus hak mereka dinafikan atau tidak mendapat tuntutan yang sepatutnya.

\”Setakat ini, kita mempunyai tujuh peguam dalam kalangan Pemuda DAP negeri yang akan mengendalikan sesi khidmat nasihat berkenaan dan sekiranya perlu mungkin mereka akan dibawa ke peringkat seterusnya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pemuda DAP Melaka Cassel Krishnan dan Ketua Biro Guaman Pemuda DAP negeri Cassian Anthony.

Khoo berkata sekiranya kes melibatkan undang-undang syariah, ia akan dirujuk kepada peguam syarie dan khidmat berkenaan juga adalah percuma.

Beliau berkata sesi khidmat nasihat guaman berkenaan ditawarkan setiap Khamis bermula 8 hingga 10 malam di Ibu Pejabat DAP Melaka di Lorong Pandan pada setiap minggu pertama dan ketiga manakala di Pusat Khidmat Rakyat Kota Melaka di Kota Laksama pada setiap minggu kedua dan keempat.

Mereka yang memerlukan khidmat berkenaan, katanya tidak perlu membuat sebarang janji temu sebaliknya boleh terus hadir ke lokasi terlibat mengikut masa ditetapkan.