Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad (tengah) bergambar bersama barisan atlet pada Majlis Penyerahan Bendera \’\’Belang Tarung Tiga Warna\’\’ Kontinjen SUKMA Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.–fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
IPOH, 4 Ogos (Iteenews) — Barisan Nasional (BN) Perak menghantar jentera parti termasuk Orang Asli bagi membantugerak kerja kempen calon mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan.
Pengerusinya Datuk Seri Saarani Mohamad berkata jentera kempen telah bertugas di Gua Musang selama seminggu, dengan memfokuskan usaha di pusat daerah mengundi (PDM) Sungai Asap serta dua PDM Orang Asli di Sungai Puian dan Pos Simpor.
“Kami menggerakkan tukang kempen dalam kalangan Orang Asli untuk berkempen dari rumah ke rumah, dan secara kebetulan, mereka ada keluarga di kawasan itu," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen SUKMA Perak 2024 di sini hari ini.
Saarani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada jentera parti peringkat negeri turut dihantar bagi membantu kempen PRK Nenggiri.
PRK DUN Nenggiri berlangsung 17 Ogos berikutan kekosongan kerusi diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, apabila bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan Ke-15 tahun lepas, Mohd Azizi yang bertanding menggunakan logo PAS menewaskan calon Barisan Nasional Ab Aziz Yusoff dengan majoriti 810 undi.
PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan wakil PN Mohd Rizwadi Ismail yang bertanding menggunakan logo PAS.