Anwar Pertahan Pelantikan Nurul Izzah, Tolak Dakwaan Nepotisme

b6920fe655ffca05229e833e532f727f68309000a090bfb Nurul Izzah Anwar

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Iteenews) — Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menolak dakwaan nepotisme susulan pemilihan anaknya Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baharu dan menegaskan pelantikan itu dibuat melalui proses demokrasi sertamendapat sokongan terbuka ahli parti.

Anwar, yang juga Presiden PKR, turut menyelar naratif yang dimainkan sesetengah pihak dan menegaskan bahawa kewibawaan Nurul Izzah, sepertimana pemimpin lain, wajar dinilai dengan adil berdasarkan kekuatan serta sumbangannya terhadap perjuangan parti.

“Menjawab dakwaan nepotisme yang dimainkan sesetengah pihak, saya mengimbau kembali saat (isteri Datuk Seri Dr Wan) Azizah (Wan Ismail) tampil menakhodai parti ini di waktu paling getirtatkala seluruh instrumen kekuasaan digunakan untuk memadam obor perjuangan KEADILAN. Ketika itu, tidak kedengaran sebarang suara melontarkan tuduhan nepotisme.

“Namun apabila (Nurul) Izzah mara menerusi proses demokratik dan meraih sokongan anggota parti secara terbuka, tuduhan ini tiba-tiba dimainkan,”kata Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook.

Semalam, Nurul Izzah melakar kemenangan besarpada pemilihan PKR menewaskan penyandang Datuk Seri Rafizi Ramli untuk diangkat sebagai Timbalan Presiden bagi penggal 2025-2028, yang menyaksikan perubahan ketara dalam kepimpinan tertinggi parti itu.

Nurul Izzah, 44, memperoleh 9,803 undi berbanding 3,866 yang diraih Rafizi sekali gus menjadikan beliau wanita pertama memegang jawatan nombor dua parti itu yang sebelum ini didominasi oleh pemimpin lelaki.

Anwar juga berkata PKR tidak boleh terperangkap dalam naratif musuh dan mesti tegas melawan naratif yang cuba memutarbelitkan perjuangan parti itu.

“Kita tidak takut diuji kerana KEADILAN lahir daripada ujian. Kita tidak gentar dikecam kerana KEADILAN diasaskan atas keberanian untuk melawan kezaliman dan ketidakadilan,”katanya.

Beliau berkata PKRakan terus menjadi suara rakyat dengan mengangkat agenda ekonomi yang membela golongan rentan, meroboh tembok penindasan dan tekal memacu reformasi serta tadbir urus yang lebih telus, bersih dan berwibawa.