Menteri Besar Selangor merangkap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Perdana Mesyuarat Agung Tahunan Cabang, Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Selangor di sebuah hotel malam ini.– fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
SHAH ALAM, 28 Feb (Iteenews) — Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan akan mempertahankan jawatanNaib Presiden PKR padapemilihan parti itu yang dijadual berlangsung 24 Mei ini.
Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata keputusan berkenaan dibuat dengan mengambil kira faktor kestabilan parti yang merupakan antara komponen menerajui Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Sebab itu, saya berpendirian kita harus terus menyusun kekuatan demi untuk pastikan Selangor jitu. Kalau Selangor sudah jitu dan padu, insya-Allah negeri lain juga akan jitu dan padu. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) berdiri dengan sokongan 100 peratus kita semua tanpa ada belah bahagi.
“… demi memikir itu, saya yakin Perdana Menteri harus dapat sokongan terus daripada Datuk Seri Rafizi Ramli selaku Timbalan Presiden dan saya akan terus berdiri selaku Naib Presiden kerana kita kena jadi satu suara yang kuat dan padu untuk maju,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR Selangor termasukWanita serta Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri di sini hari ini.
Mesyuarat itu disempurnakan Perdana Menteri merangkap Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut hadir Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli, Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek, Ketua AMK Adam Adli dan Menteri Komunikasi merangkap Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil.
Sebelum ini, Amirudin dilaporkan berkata keputusan sama ada beliau akan bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR atau sebaliknya akan diputuskan hari ini dan akan diumumkan selepas pertemuan dengan Perdana Menteri.
Sementara itu, Rafizi dalam ucapannya mahu setiap ahli parti memainkan peranan mematahkan tohmahan yang dilemparkan pihak pembangkang kepada kerajaan, sekali gus memastikan setiap dasar atau inisiatif dapat dilaksanakan dengan lancar.
Beliau berkata PKR sebagai sebuah parti harus berada dalam keadaan ofensif berbanding defensif dengan memperbanyakkan kandungan digital bagi tujuan berkenaan.