Ahmad Zahid Sokong Cadangan UMNO Diberi Kerusi Di Parlimen Kota Raja

31b28e38e91eb7cb34ddf625fd13befb66af75fc44cfcTimbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Raja, Klang.

KLANG, 4 Ogos (Iteenews) — Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyokong cadangan supaya parti berkenaan diberikan sekurang-kurangnya satu kerusi di Bahagian Kota Raja dalam mendepani pilihan raya pada masa akan datang.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata cadangan diutarakan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz itu sesuai dengan realiti politik semasa yang dibina atas dasar kefahaman antara parti dalam Kerajaan Perpaduan.

"Namun, kita berazam dengan persefahaman yang disebut, kita harap Kota Raja ini rakan-rakan (Kerajaan Perpaduan) akan melihat kebersamaan bahawa takkanlah daripada empat (kerusi) satu pun tak boleh nak beri," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kota Raja di sini hari ini.

Terdahulu, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri dalam ucapannya menyatakan hasrat supaya UMNO diberikan satu daripada empat kerusi di Bahagian Kota Raja yang kini disandang oleh Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Empat kerusi berkenaan ialah satu di Parlimen Kota Raja dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaituSentosa, Sungai Kandis dan Kota Kemuning.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata pertumbuhan ekonomi yang dibawa oleh UMNO dalam mentadbir negara sebelum ini juga tidak lagi mampu memberikan keyakinan politik kepada rakyat.

Beliau berkata perkara itu boleh dilihat menerusi sejarah lampau UMNO dengan parti terbabit kehilangan dominasi untuk mentadbir Selangor dan Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum ke-12 berikutan kegagalan melihat perubahan yang berlaku dalam kalangan rakyat.

“Bukan hanya di Selangor, tetapi di seluruh negara. Kita sedang mendakapi realiti politik baharu, ini suatu situasi yang harus kita hadapi. Untuk kita lihat, sejarah silam jangan harus kita padamkan.

“Walaupun suatu ketika Selangor menjadi simpanan tetap politik kita, namun situasi itu berubah dan ia berlaku bukan secara organik, sebaliknya sangat berstruktur,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *