KLUANG, 21 Sept — Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi ketika ditemui pengamal media di Pusat Operasi Perpaduan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.29 Mahkota di Jalan Mersing hari ini.– fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
KLUANG, 21 Sept (Iteenews) — Pakatan Harapan (PH) mendakwa berlaku penyebaran surat layang mendesak pengundi Cina tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 Sept ini.
Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi yang juga Penyelaras PH Kluang bagi PRK itu berkata mereka menerima aduan penyebaran surat bertulisan Cina yang disebarkan di beberapa taman perumahan sekitar DUN itu, tengah malam tadi.
"Saya anggap ini taktik kotor kerana dalam PRK kita sepatutnya menggalakkan orang untuk keluar mengundi. Jadi saya ingin menyeru pengundi untuk keluar mengundi, perkukuhkan Kerajaan Perpaduan untuk kestabilan politik," katanya pada sidang media Pusat Operasi Perpaduan di sini hari ini.
Wong juga berharap pihak tidak bertanggungjawab itu menghentikan perbuatan tersebut.
PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN Syed Hussien Syed Abdullah dengan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandang Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.