Abang Johari Yakin Keutuhan Parti Tidak Tergugat

9cb742fef448f0b85999f25c56020e74678237674c5d6Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg merangkap Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menerima cenderahati daripada Setiausaha Agung PBB, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (kanan) selepas perasmian Mesyuarat Perwakilan Cawangan-Cawangan PBB Zon Tengah Sarawak di Stadium Tertutup Sibu. Turut kelihatan ialah Timbalan Presiden PBB juga Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas (dua dari kiri) dan Naib Presiden PBB, Datuk Dr.Annuar Rapaee (kiri sekali).–fotoBERNAMA(2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

SIBU, 11 Jan (Iteenews) –Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tan Sri Abang Johari Tun Openg yakin tiada sebarang masalah akan timbul yang boleh menggugat keutuhan parti ketika peralihan kuasa suatu hari nanti.

Beliau berkata peralihan kepimpinan dari Tun Abdul Taib Mahmud kepada Tun Adenan Satem dan seterusnya kepada beliau, telah berlaku tanpa sebarang masalah.

“Pada usia yang mencecah 74 tahun, akan sampai masanya tempat saya digantikan orang lain.

“Apakah selepas saya akan ada masalah?” katanya ketika berucap pada perasmian Persidangan Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Tengah di Stadium Tertutup Sibu hari ini.

Persoalan beliau itu disambut dengan jawapan ‘Tidak’ oleh lebih 2,700 perwakilan yang hadir ke persidangan tersebut.

Premier Sarawak itu berkata setiap barisan parti termasuk sayap Wanita dan Pemudanya perlu berpandangan jauh supaya parti terus berjuang untuk masa depan rakyat.

“Dalam melihat kejayaan kita, kita lihat jugalah masa depan. Oleh sebab itu kita telah bersetuju untuk mewujudkan Belia PBB yang mewarisi kejayaan dan menguruskan usaha kita dalam landskap yang baharu,” katanya.

Abang Johari juga berharap dapat melahirkan generasi bumiputera yang pandai dan mempunyai kepakaran dalam bidang sains serta disiplin yang baharu.

Persidangan tersebut yang melibatkan 24 cawangan PBB dari Zon Tengah Sarawak menyaksikan sebanyak 15 usul dicapai.