Zi Yu-Dania prospek masa depan negara

Badminton

ZI YU (kanan) dan Dania membuktikan mereka mempunyai masa depan cerah selepas muncul naib juara remaja dunia pada Ahad lalu.

BIARPUN hanya dua kali digandingkan, namun beregu wanita negara, Low Zi Yu-Dania Sofea Zaidi membuktikan mereka mempunyai masa depan cerah untuk terus menyinar.

Ia susulan kejayaan mereka bergelar naib juara pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Nanchang, China yang berakhir pada Ahad lalu.

Mereka yang baharu sahaja digandingkan sejak Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak dan meraih pingat emas buat Johor, mencuri tumpuan apabila mara ke pentas final Kejohanan Remaja Dunia sebelum tewas kepada pasangan Jepun, Ririna Hiramoto-Aya Tamaki 17-21, 17-21.

Status naib juara dunia melonjakkan semangat kedua-dua pemain tersebut untuk kembali ke pentas berprestij berkenaan dengan misi lebih besar iaitu bergelar juara remaja dunia tahun depan di Guwahati, India.

“Kami tak jangka dapat pingat perak sebab kami tak terlalu fokus dan berlatih. Kami hanya mahu buat yang terbaik dan bagi sepenuhnya apa yang kami ada.

“Kami akan cuba dapatkan pingat emas tahun depan,”kata Dania ketika ditemui di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) sejurus pulang dari Nanchang lewat malam kelmarin.

Pencapaian yang dilakar gandingan remeja itu seharusnya dipuji kerana jika diikutkan mereka berdua menjalani latihan sendirian sekali gus menjadi prospek terbaik sebagai pengganti kepada beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah.

Zi Yu yang baru berusia 14 tahun itu berada di Segamat, Johor, manakala Dania Sofea, 16, menjalani latihan di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) sebelum disatukan untuk membuat kemunculan di remaja pentas dunia.

Dalam pada itu, Dania mengakui tidak berdepan masalah sekiranya disatukan untuk menjalani latihan bersama-sama dan hanya menunggu tawaran daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memandangkan mereka masih lagi muda.

“Zi Yu masih kecil (14 tahun), SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) pun tak ambil lagi kemungkinan dia (kekal) tinggal di Segamat. Tapi apapun terpulang kepada BAM,”kata Dania.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *