GOMBAK – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hari ini mengecap kenangan manis apabila beliau menyampaikan sendiri skrol graduasi kepada anak bongsunya pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke 40.
Zambry yang hadir ke majlis tersebut bagi menyampaikan skrol kepada 565 graduan daripada Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim serta Kuliyyah Teknologi Maklumat dan Komunikasi berpeluang untuk menyampaikan sendiri skrol kepada anak lelakinya, Mukhlis Zambry.
Jelas Zambry, penyampaian anugerah hari ini sangat bermakna kepadanya secara peribadi, bukan sekadar anak bongsunya turut menerima skrol ijazah, malah sebagai bekas mahasiswa UIAM.
“Saya dipenuhi dengan rasa bangga dan syukur kerana ini kenangan yang benar-benar bersejarah, baik secara peribadi mahupun profesional.
“Sebagai anggota kumpulan mahasiswa pertama UIAM dan kini sebagai Menteri Pendidikan Tinggi, ia menjadi kehormatan luar biasa untuk saya menyampaikan ucapan pada konvokesyen ini.
“Secara peribadi pula hari ini terasa sangat istimewa kerana anak bongsu saya menerima skrol dalam bidang undang-undang. Ke semua anak saya adalah mahasiswa UIAM,”katanya.
Dalam pada itu, dalam ucapannya, Zambry turut menitiskan air mata dalam mengingat kepada para mahasiswa terhadap pengorbanan besar ibu bapa dalam membentuk dan menjadi tunjang utama kejayaan graduan hari ini.
“Ingat pengorbanan mereka, yang masih ada ibu ayah bersyukur dan berkorbanlah untuk mereka kelak,”jelasnya. – https://amiminerals.org/.