Zahnita tekad teruskan perceraian, \’happy mom is happy family\’

WhatsApp Image 2025 04 18 at 16.00.35 3d248d9d

ZAHNITA ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Syariah Kuantan di Kuantan hari ini.

KUANTAN – “Happy mom is happy family.”

Demikian respons bekas peragawati, Zahnita Wilson ketika ditanya sama ada beliau akan kembali bersama suaminya, Abd Zackery Ghouse, 47, demi masa depan empat cahaya mata mereka yang berusia empat hingga 18 tahun.

Zahnita yang juga pelakon berkata, dia tetap akan meneruskan perceraian kerana berasa tidak selamat untuk dirinya dan anak-anak berada di bawah bumbung yang sedang ‘runtuh’.

“Jika saya bersama dalam keadaan tertekan dari segi emosi dan mental tidak selamat juga untuk anak-anak sebab ‘happy mom is happy family’.

“Jika mom tidak happy anak-anak tidak happy juga. Kalau terlalu tertekan, emosi tidak gembira bawah satu bumbung adalah tidak selamat juga untuk anak-anak,”katanya.

Zahnita berkata demikian ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Syariah di sini hari ini bagi sebutan tiga kes iaitu tuntutan perceraian, permohonan perintah injunksi terhadap gangguan dan tuntutan hadhanah atau hak lawatan serta bermalam anak-anaknya.

Mahkamah menetapkan 19 Mei ini bagi mendengar semula kes perceraian dan injunksi, manakala 14 Julai depan untuk kes hadhanah.

Bagi kes perceraian, mahkamah melantik Mohd. Julian Hussein Wilson Hussein bagi mewakili Zahnita sebagai hakam dan Parwish Mohd. Yusof bagi mewakili Abd. Zackery.

Zahnita berharap pelantikan abang sulungnya sebagai wakil akan dapat menyelesaikan kemelut rumah tangga yang membebaninya selama ini.

Katanya, berdasarkan respons tiga anaknya yang tinggal bersama ketika ini, ketiga-tiga mereka gembira.

‘Sebab yalah apabila emak dan ayah selalu bergaduh, selalu salah faham depan anak-anak adalah tidak baik untuk mereka, jadi sekarang kita berpisah. Masing-masing cuba kehidupan (baharu) masing-masing,”ujarnya.

Sementara itu Abd. Zackery berkata, berdasarkan pertemuan dengan anak-anaknya, mereka memaklumkan, mahu ibu bapa kembali bersama dan menjalani kehidupan bahagia seperti sebuah keluarga.- https://amiminerals.org/