SHAH ALAM – Kerajaan dalam usaha membangunkan formula bagi memudahkan Mahkamah Syariah menentukan kadar nafkah segera kepada anak-anak dari pasangan yang bercerai.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, ini berikutan prosiding di Mahkamah Syariah seluruh negara ketika ini mengambil masa yang lama dengan terpaksa mendengar keterangan daripada anak, isteri dan bapa.
Katanya, situasi itu kemudiannya disalahguna oleh bapa atau suami untuk menangguh atau memanjangkan kes tuntutan nafkah anak menjadi lebih lama.
“Macam di negara barat ada formula tertentu dalam menentukan nafkah dan ia mengambil tempoh masa pendek bagi penentuan jumlah (perlu dibayar bapanya).
“Jadi, Bantuan Sokongan Keluarga (BSK) dibawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) akan melihat dan membangunkan formula sebelum diperkenalkan bagi memudahkan hakim.
“Kalau bapa itu pendapatan sebegini dan mempunyai anak dua atau tiga orang, hanya perlu ikut formula tersebut dan hakim boleh keluarkan berapa jumpa yang perlu dibayar bapanya,”katanya pada sidang akhbar hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan penutupan Persidangan Antarabangsa Undang-Undang Keluarga (ICFL) 2024 yang disertai lebih 350 peserta termasuk Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Ketua Hakim Syarie Negeri, Pegawai Baitulmal dan Pegawai di Jabatan Mufti.
Mohd. Na’im menambah, pendekatan digunakan di negara barat juga berbeza apabila kuasa menentukan jumlah, pengutipan dan penguatkuasaan nafkah anak-anak itu dibuat sebuah agensi yang berbentuk pentadbiran berbanding di negara ini dilaksanakan oleh mahkamah.
Beliau menjelaskan sebelum penubuhan BSK pada tahun 2010 menunjukkan lebih 12,000 perintah mahkamah berkaitan tuntutan nafkah anak dikeluarkan namun tidak dilaksanakan oleh golongan bapa.
“Justeru, semua perintah nafkah di seluruh negara pada tempoh sebelum 2010 adalah kekal di atas kertas sahaja dan tidak dilaksanakan dalam pemberian wang (nafkah).
“Pengabaian terus berlaku dan golongan bapa-bapa yang culas tidak patuhi perintah tersebut,”katanya.
Ketika ditanya sama ada keperluan dalam menambah hukuman penjara berbanding maksimum 30 hari ketika ini, Mohd. Na’im menjelaskan peruntukan undang-undang adalah memadai buat masa ini.
“Setakat ini, pengalaman kita (apabila bapa yang culas dipenjara) sehari atau dua hari pun dia dah give up dan minta keluar.
“Saya ingat satu kes didepan saya, dia (penculas) ingat duduk di penjara macam duduk di hotel atau apa. Masuk sehari terus dalam 24 jam bayar tunggakan nafkah,”jelasnya. – https://amiminerals.org/