SANTIAGO – Juara dunia lima kali, Brazil kembali menghidupkan peluang mereka dalam kempen Kelayakan Piala Dunia (WCQ) 2026 selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Chile di Estadio Nacional Julio Martinez Pradanos semalam.
Biarpun menang pada saat akhir tetapi ia mengurangkan tekanan dirasai ketua jurulatih Brazil, Dorival Junior bagi mengelak The Selecao daripada gagal melayakkan diri secara automatik ke Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah negara itu.
Ia juga adalah kemenangan kedua Brazil dalam lima aksi kelayakan zon Amerika Selatan, sekali gus melonjak ke tangga keempat dengan 13 mata daripada sembilan perlawanan.
Dalam aksi itu, Brazil terlebih dahulu dikejutkan dengan gol awal Chile menerusi Eduardo Vargas selepas menanduk masuk hantaran Felipe Loyola seawal minit kedua.
Tuan rumah berpeluang melebarkan penguasaan dengan tambahan jaringan tetapi mensia-siakannya sebelum Brazil bangkit mengikat kedudukan 1-1 di penghujung babak pertama hasil jaringan Igor Jesus.
Penyerang Botafogo itu memanfaatkan hantaran daripada pemain sayap Manchester City, Savinho yang membuat penampilan dalam kesebelasan utama mengisi kekosongan ditinggalkan bintang Real Madrid, Vinicius Junior kerana masalah kecederaan.
Aksi separuh masa kedua ternyata menjadi milik Brazil sepenuhnya dengan memegang keseluruhan 72 peratus penguasaan padang biarpun terpaksa menunggu sehingga lewat permainan untuk meledak gol kemenangan.
Jaringan itu terhasil menerusi penyudah menarik Luiz Henrique pada minit ke-89 untuk menghidupkan perjuangan Brazil yang akan berdepan pasukan tercorot, Peru pada 16 Oktober ini. – AGENSI