JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga emas berputih mata apabila wang simpanan berjumlah RM625,250 lebur akibat terperdaya sindiket menawarkan pelaburan dengan pulangan 15 peratus.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, mangsa yang berusia 67 tahun membuat laporan polis, semalam.
Katanya, mangsa mendakwa dihubungi seorang lelaki menerusi aplikasi WhatsApp pada Mac lalu dan menawarkan peluang pelaburan menarik.
“Mangsa dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp berkaitan pelaburan sebelum diminta memuat naik aplikasi bagi tujuan melihat keuntungan serta mengendalikan pelaburan tersebut.
“Mangsa yang tertarik kemudian membuat 16 transaksi ke lima akaun berbeza sejak 22 Mac hingga 19 Mei lalu dengan nilai keseluruhan berjumlah RM625,250,”katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Balveer Singh, mangsa hanya menyedari ditipu apabila diminta membuat pelaburan tambahan jika mahu mengeluarkan keuntungan yang diperoleh menerusi pelaburan terdahulu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan turut melibatkan kemungkinan penggunaan keldai akaun,”ujarnya. – https://amiminerals.org/