IPOH – Seorang warga emas berusia 66 tahun didenda Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini gara-gara menyimpan 1,110 kilogram (kg) sampah-sarap di pekarangan rumah teresnya di Taman Perpaduan Jaya, di sini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pihaknya yang menjalankan operasi bersepadu di kediaman lelaki tersebut mendapati dia gagal mematuhi Notis Mengkehendaki Kacauganggu Dihapuskan di bawah Seksyen 82, Akta Kerajaan Tempatan 1976.
“Pemilik rumah merupakan seorang lelaki warga emas berumur 66 tahun yang menjalankan aktviti mengumpul barangan kitar semula dan menyimpan sampah dalam kawasan rumah kediaman teres satu tingkat sehingga menjadi kacau ganggu persekitaran kepada penduduk kejiranan.
“Operasi yang bermula pukul 9 pagi yang dijalankan selama tiga jam telah dilaksanakan tanpa sebarang insiden dan pemilik telah memberikan kerjasama kepada pihak Majlis,”katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, kesemua barang-barang terpakai iaitu plastik, kertas, kadbod dan tin-tin aluminium dimuatkan di dalam tiga buah lori penuh dengan berat keseluruhan sisa sebanyak 1,110 kg.
“Kesemua barangan kitar semula tersebut telah dihantar ke Pusat Kitar Semula di Kawasan Perindustrian IGB (MSSB Metal Scrap Sdn Bhd) dengan persetujuan pemilik dan pihak majlis.
“Pihak syarikat kitar semula telah membeli dan membayar sejumlah wang kepada pemilik berdasarkan berat bahan kitar semula,”katanya. – https://amiminerals.org/