Warga asing didakwa miliki minyak masak 4,000kg

IMG 20241118 WA0072

11 tertuduh warga Indonesia ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kajang hari ini.

KAJANG – Seramai 11 orang warga asing mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki bahan kawalan berjadual tanpa lesen sah, pertengahan bulan lalu.

Mereka ialah Taufiq, 31; Muhammad Saifun Nur, 25; Mahdi Ismail, 48; Atriman Nurdin, 33; Muhammad Nazari,48; Muhammad Saidi, 42; Munawar 25; Ricky,54; Ikramullah 23; Muhammad Yani,20; dan Adrian,29.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh warga Indonesia didakwa memiliki minyak masak seberat 4,000 kilogram dalam keadaan menimbulkan syak di rumah sewa kesemua tertuduh di Jalan Kajang Jaya 1, pada pukul 8.35 malam, 12 November lalu.

Perbuatan itu didakwa di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksima tiga tahun dan denda tidak melebihi RM1,000,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan seterusnya, nemperuntukkan hukuman penjara maksima lima tahun atau denda tidak melebihi RM3,000,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding Pegawai Pendakwa, Muhammad Saiful Saaidin tidak mencadangkan sebarang jaminan dan memohon satu tarikh baharu untuk laporan kimia.

“Bagi kes ini, kesemua tertuduh tidak ditawarkan sebarang jaminan kerana tidak mempunyai alamat tetap dan bukan warganegara Malaysia.

“Pihak pendakwaan juga memohon kesemua tertuduh diletakkan di Penjara Satelit Kuala Langat,” kata Saiful.

Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu tidak memohon sebarang rayuan.

Hakim Mazualina Abdul Rashid menetapkan 17 Disember ini bagi sebutan semula kes. Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin.

Pada 12 November lalu, sindiket menyeleweng minyak masak peket bersubsidi dan dijual sebagai minyak masak terpakai pada harga lebih tinggi berjaya ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menterinya, Datuk Armizan berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam sehingga membawa kepada tangkapan 15 orang termasuk empat lelaki tempatan dalam dua serbuan berasingan, di Selangor.

Menurutnya, bungkusan minyak masak subsidi itu dipotong di sebuah rumah di Taman Kajang Jaya untuk dikumpulkan di dalam tong simpanan. – https://amiminerals.org/