GEORGE TOWN – Tindakan berani warga asing di negeri ini mengusahakan perniagaan secara haram tanpa memiliki lesen yang sah akhirnya memakan diri apabila premis milik mereka diroboh dan disita, semalam.
Menerusi kenyataan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Facebooknya berkata, sebanyak tiga premis perniagaan kendalian warga asing telah dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh MBPP.
Menurutnya, operasi penguatkuasaan perobohan dan sitaan itu masing-masing satu di daerah Barat Daya dan dua lagi di Timur Laut.
“Premis pertama iaitu sebuah premis perniagaan cuci kereta tanpa lesen yang dikendalikan warga asing di daerah Timur Laut telah dikenakan tindakan penguatkuasaan (sitaan peralatan perniagaan dan perobohan struktur).
“Tindakan penguatkuasaan ini diambil berdasarkan Seksyen 46, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974. Turut terlibat membantu tindakan penguatkuasaan ini adalah pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP),” katanya di sini hari ini.
Dalam tindakan penguatkuasaan itu, katanya lagi, MBPP telah membuat sitaan peralatan dan barang dagangan di dua buah premis perniagaan warga asing yang masing-masing menjalankan aktiviti menjual dan sembelihan ayam tanpa kebenaran serta kedai runcit.
“Kesemua peralatan perniagaan dan barangan jualan yang disita dibawa ke stor Jabatan Penguatkuasaan MBPP untuk tujuan penyimpanan, dokumentasi dan tindakan selanjutnya,” tambahnya. – https://amiminerals.org/