JOHOR BAHRU – Tindakan seorang wanita warga Singapura mendakwa dirinya konon cuba diculik membawa padah apabila dia bakal dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan membuat laporan palsu pada 22 Januari lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, wanita berusia 45 tahun itu mendakwa telah didatangi dua individu masing-masing seorang lelaki dan wanita ketika berada di sebuah pusat beli-belah di Taman Abad di sini, kira-kira pukul 1 tengah hari, 10 Januari lalu.
Katanya, mangsa kemudiannya ditawarkan teh cina sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
“Mangsa mendakwa dia dipaksa menghidu teh yang dipromosikan sehingga menyebabkannya pening dan tidak sedarkan diri.
“Hasil siasatan dan semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan tersebut mendapati tiada pergerakkan mangsa berdasarkan bukti-bukti teknikal,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Kumar menambah, polis membuka kertas siasatan dan telah dirujuk ke Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Johor sebelum menerima arahan untuk pertuduhan.
Ujarnya, wanita terbabit akan dituduh di Mahkamah Majistret di sini hari ini mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu. – https://amiminerals.org/