Wanita pulang selepas 17 tahun jadi hamba

MARLIA INDONESIA e1730105765559

Marlia berpelukan dengan ibunya selepas hampir 18 tahun hilang tanpa khabar, akibat dieksploitasikan oleh majikannya di Bintulu.

KUCHING – Wanita Indonesia, Marlia yang sebelum ini diperhambakan selama 17 tahun oleh majikannya di Bintulu akhirnya pulang ke pangkuan ibu bapanya pada 25 Oktober lalu.

Kepulangan Marlia, 34, itu turut diiringi oleh Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kuching, Raden Sigit Witjaksono setelah hampir dua tahun ditempatkan di Rumah Perlindungan Wanita (RUPAWAN) di Kota Kinabalu, Sabah.

Menurut jurucakap Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kuching, penghantaran pulang ke kampung halamannya di Desa Semanga, Dusun Setambah, Sambas, Kalimantan Barat melalui perbatasan ICQS Biawak, Lundu – PLBN Aruk, Sambas melibatkan kerjasama antara pihaknya dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak dan Sabah.

“Setibanya di PLBN Aruk, Marlia diserahkan kepada wakil-wakil dari Pemerintah Daerah Sambas, termasuk Dinas Tenaga Kerja Kabupaten Sambas, BP2MI Aruk, Imigrasi Aruk, serta Kepala Desa Semanga,” katanya yang dihubungi.

Kisah eksploitasi terhadap Marlia oleh majikan terbongkar selepas dia diselamatkan oleh anak majikannya itu, dengan melarikannya dari rumah pada tahun lepas.

Anak majikannya itu bertindak sedemikian kerana mengasihani Marlia yang menjaganya sejak bayi lagi, setelah diperlakukan seperti hamba oleh ibunya, dengan tidak memberi gaji selama 17 tahun (2006-2023) dia bekerja. Malah, Marlia langsung tidak diberi peluang untuk balik ke kampung atau berhubung dengan ibu bapanya.

Anak majikannya itu kemudian menyembunyikannya di rumah jiran sebelum menghubungi Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kuching untuk bantuan lanjut. Susulan itu, Marlia diselamatkan oleh pasukan Perlindungan WNI daripada Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kuching pada 12 Jun 2023. – https://amiminerals.org/