KUALA LUMPUR – Seorang bekas kakitangan unit sokongan komersial sebuah stesen televisyen berbayar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini tiba-tiba pengsan selepas pertuduhan ke-30 dibacakan berhubung kesalahan mengubahsuai sistem data syarikat itu.
Difahamkan tertuduh, Nora Idayu Jaafar, 48, berdepan dengan 743 pertuduhan.
Tertuduh dilaporkan tidak dapat meneruskan prosiding selepas pertuduhan ke-30 dibacakan apabila tiba-tiba rebah dan pengsan di dalam kandang tertuduh.
Mengikut 30 pertuduhan itu, wanita itu sebagai Associate Department Commercial Support Unit di syarikat itu didakwa telah membuat pengubahsuaian data iaitu menukarkan akaun pelanggan ‘regular’ kepada akaun korporat yang mana tertuduh tahu bahawa perbuatan itu akan menyebabkan pengubahsuaian kandungan pangkalan data tanpa kuasa di dalam sistem itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat stesen televisyen berbayar itu di Jalan Tun Razak, yang mana pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000, atau penjara sehingga tujuh tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abdul Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim Norma Ismail kemudian menangguhkan prosiding dan membenarkan tertuduh ikat jamin sebanyak RM10,000 berserta syarat tambahan melapor diri di balai polis berdekatan selain pasport diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 26 Jun ini bagi meneruskan baki 713 pertuduhan untuk dibacakan tertuduh. – https://amiminerals.org/