KUANTAN – Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) dilaporkan hilang ketika keluar ke sebuah pusat beli-belah bersama ibu angkatnya di sini semalam.
Mangsa Norilyana Izzati Normazlan,29, yang merupakan OKU lembam disyaki mengikut seorang lelaki di pusat beli-belah berkenaan.
Kehilangan mangsa disedari ibu angkatnya berusia 51 tahun yang ketika itu menyertai acara jualan di pusat beli-belah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa yang mengikut ibu angkatnya sejak Jumaat lalu kali terakhir dilihat kira-kira pukul 2 petang di sekitar pentas ruang legar pusat beli-belah itu.
“Mangsa dipercayai keluar bersama seorang lelaki yang tidak dikenali dengan berjalan kaki dan tidak pulang ke rumah.
“Usaha mencari dan mengesan mangsa dilakukan pengadu bersama rakan niaga, namun wanita itu gagal ditemui,”katanya di sini hari ini.
Katanya, susulan kehilangan mangsa, ibu angkat mangsa tampil membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan wanita terbabit,
Menurut Wan Mohd Zahari mangsa bertubuh sederhana dengan ketinggian kira-kira 1.5 meter.
“Kali terakhir wanita itu dilihat memakai baju paras lutut berwarna biru gelap dengan corak batik, seluar dan tudung hitam.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ternampak wanita itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan atau mana-mana balai polis berdekatan,”ujarnya. – https://amiminerals.org/