Wanita maut pacuan empat roda terjunam dalam parit

TERJUNAM PARIT

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang terperangkap di bawah kenderaannya yang terjunam ke dalam parit.

SIMUNJAN – Seorang wanita meninggal dunia selepas pacuan empat roda dipandunya terbabas ke dalam parit di tepi jalan, di sini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 7.40 pagi tadi dan pihaknya segera menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan ke lokasi.

Katanya, setiba di lokasi, pasukan bomba mendapati mangsa yang berusia 35 tahun masih berada di bawah kenderaan yang terjunam ke dalam parit yang dipenuhi air itu.

“Pasukan bomba terus menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang masih berada di bawah kenderaan.

“Setelah berjaya dikeluarkan, mangsa disahkan meninggal dunia oleh paramedik,”katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. – https://amiminerals.org/