ALOR GAJAH – Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum merempuh tembok batu di Jalan Pengkalan berhampiran Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd. Zain di sini pada tengah malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah malam itu, mangsa, Nur Erdiyanah Samsul Maarif, 27, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC sedang dalam perjalanan dari arah Melaka Pindah menuju ke rumahnya di Taman Puncak Kasa Height.
“Setibanya di lokasi motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum terbabas ke sebelah kanan dan melanggar tembok batu. Impak rempuhan itu menyebabkan bahagian hadapan motosikal mangsa rosak teruk.
“Wanita itu disahkan meninggal dunia di lokasi akibat pendarahan di kepala. Mayat mangsa diserahkan kepada Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat,”katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Ashari, siasatan awal di lokasi mendapati kejadian berlaku di jalan satu lorong dua hala dan terdapat lampu jalan.
“Kenderaan terlibat telah ditahan dan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”ujarnya – https://amiminerals.org/